
Habib
Abdul Qadir bin Ahmad As-Saqqaf dilahirkan di Kota Seiwun, Hadramaut
pada tahun 1331/1911. Ayahanda beliau Habib Ahmad bin Abdur Rahman
As-Saqqaf adalah seorang ulama terkemuka di Hadhramaut yang menjadi
pengganti kepada Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi, penyusun Simthud
Durar. Selain belajar daripada ayahandanya sendiri, beliau juga belajar
dengan Syeikh Taha bin Abdullah Bahmid. Beliau juga belajar di Madrasah
an-Nahdhatul Ilmiyyah dan telah menghafal al-Quran serta menguasai
qiraah as-sab'ah daripada gurunya Syeikh Hasan bin Abdullah Baraja'.
Lihat
bagaimana pemuka habaib menuntut ilmu bukan sahaja daripada kalangan
mereka sahaja, tetapi kepada ulama lain yang alim walaupun tidak senasab
dengan mereka. Pelik dengan sikap segelintir yang hanya mahu belajar
daripada ulama yang sama senasab dengan mereka, jalan siapa yang kamu
turuti sebenarnya. Sungguh para salaf kamu terdahulu menuntut ilmu
daripada ulama tanpa melihat asal keturunan mereka hatta Imam al-Haddad
mempunyai guru daripada kalangan masyaikh.

Antara
guru-guru beliau lagi ialah Habib Umar bin Hamid As-Saqqaf, Habib
Abdullah bin Alwi Al-Habsyi, Habib Umar bin Abdul Qadir As-Saqqaf, Habib
Abdullah bin Aidrus Al-Aidrus dan ramai lagi. Habib Abdul Qadir adalah
seorang ulama dan dai yang menjalankan dakwahnya dengan penuh
kebijaksanaan. Akhlaknya yang tinggi mampu menawan hati sesiapa sahaja,
ilmu, warak dan akhlaknya menyebabkan beliau dikasihi dan dihormati.
Khabarnya Buya Hamka pernah ziarah kepada beliau sewaktu di Jeddah, dan
setelah berbincang dengan beliau, akhirnya Buya Hamka mengakui bahawa
Baitun Nubuwwah Bani Zahra min Ali masih wujud dan berkesinambungan dalam darah para saadah Bani Alawi.

Dakwah
Habib Abdul Qadir tidak terhad kepada bumi kelahirannya sahaja, tetapi
beliau juga memperluaskan medan dakwahnya sehingga ke Singapura dan
Indonesia. Akhirnya atas permintaan beberapa ulama Hijaz, beliau menetap
di Hijaz dengan bermukim di Makkah, Madinah dan Jeddah untuk mengasuh
majlis-majlis taklim. Dalam usia yang sudah hendak mencapai seabad,
beliau menghabiskan masanya di Jeddah dan masih menerima ziarahnya para
penziarah. Mudah-mudahan Allah memberkahi usia dan segala usaha beliau
dan membalasinya dengan sebaik-baik balasan.
Sumber:
http://bahrusshofa.blogspot.com/2007/01/habib-abdul-qadir.html*Dikhabarkan kini beliau semakin uzur. Kita doakan semoga Allah sentiasa merahmatinya, mengasihaninya dan menjaganya. Amin.
Gambar Terkini
Tidak ada komentar:
Posting Komentar