Jika
melihat sanad keilmuan para tokoh ulama nusantara dan negara-negara
muslim lain yang pernah belajar di Makkah atau Madinah pada pertengahan
abad ke 20, hampir pasti anda akan menemukan nama Syaikh Umar Hamdan di
dalamnya. Beliau memang salah seorang ulama terkemuka dan tokoh penting masa itu
Tak menghairankan jika namanya selalu disebut apabila kita membaca bahan-bahan tentang pengajaran ilmu-ilmu keislaman di masa itu. Sebagaimana abad-abad sebelumnya, Makkah menjadi salah satu pusat keilmuan yang menonjol, yang sentral kegiatannya berlangsung di Masjidil Haram.
Syaikh Umar Hamdan, atau lengkapnya Syaikh Umar bin Hamdan bin Umar bin Hamdan bin Ahmad Al-Mahrasi lahir di Jirbah, Tunisia, pada tahun 1292H (1875M). Melihat tahun kelahirannya, beliau seangkatan dengan Habib Ali bin Abdurrahman Al-Habsyi, Habib Alwi bin Thohir Al-Haddad, Hadhratusy Syaikh K.H. Hasyim Asy'ari, Syaikh Sulaiman Ar-Rasuli, dan banyak lagi tokoh ulama terkemuka lainnya. Sebahagian mereka mempunyai guru yang sama. Aktiviti keilmuan Syeikh Umar Hamdan dilalui dalam masa yang panjang dan melewati berbagai kota dan negeri. Saat berusia 7 tahun, beliau dibawa ayahnya berangkat ke ibu kota negara yang terletak di Afrika Utara itu, iaitu kota Tunis.
Beliau tumbuh dalam lingkungan keluarga yang dikenal keilmuan dan keutamaannya. Sejak kecil beliau telah mempelajari ilmu-ilmu agama, dimulai dengan mempelajari dan menghafal Al-Quran serta mendalami tajwidnya kepada Syaikh Al-Manbaji. Lalu beliau mempelajari dasar-dasar ilmu agama yang lain daripada para ulama di sana.
Pada tahun 1303H (1886M) dalam usia 11 tahun, beliau berhijrah bersama ayahnya ke Makkah dan sekaligus menunaikan haji.
Tahun berikutnya beliau diajak ayahnya berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah. Beliau merasa senang dan sesuai tinggal di kota Rasulullah shollallahu 'alaihi wa alihi washohbihi wasallam itu. Di Masjid Nabawi beliau menyempurnakan hafalan Al-Quran nya kepada Syaikh Ibrahim Ath-Tharudi selama sekitar sati setengah tahun. Beliau juga mempelajari dan menghafal kitab-kitab matan. Di antaranya, kepada Al-'Allamah As-Sayyid Ahmad bin Ismail Al-Barzanji, mufti Syafi'i di Madinah, beliau belajar kitab Mughni al-Labib, Alfiyyah Ibnu Malik (keduanya dalam ilmu nahwu, 'grammar' bahasa Arab) asy-Syifa' (karya Qadhi 'Iyadh), dan sebahagian besar Shahih Al-Bukhari dan Shahih Muslim. Selama 2 tahun beliau selalu mengikuti pelajaran gurunya ini.
Syeikh Umar Hamdan juga mengambil ilmu dari para tokoh ulama Madinah lainnya. Antara lain, Syaikh Falih bin Muhammad Azh-Zhahiri Al-Mahnawi (mufti Syafi'i di Madinah), Syaikh Muhammad Ali bin Zhahir Al-Watri Al-Madani, Syaikh Abdul Jalil bin Abdus Salam Baradah, Sayyid Muhammad bin Ja'far Al-Kattani, Syaikh Abdul Baqi Al-Anshari. Setiap mendengar kedatangan seorang alim ke Madinah, ia segera menjumpainya, meminta ijazah dan belajar kitab kepadanya.
Ketika Syaikh Allamah Muhammad Al-Kattani datang ke Madinah, misalnya, ia selalu menyertai dan mengambil ilmu darinya, meskipun saat itu beliau telah dikenal sebagai seorang ahli dalam fiqh Maliki dan ilmu nahwu. Rasa haus akan ilmu membuatnya tidak hanya belajar kepada para ulama laki-laki, tapi juga kepada ulama perempuan. Di antaranya ia pernah mengambil ilmu hadits dari Sayyidah Amatullah binti Abdul Ghani Ad-Dahlawi. Demikian disebutkan oleh Syaikh Umar Abdul Jabbar ketika menjelaskan riwayat hidup Syeikh Umar Hamdan dalam kitabnya, Siyar wa Tarajim, halaman 230-234.
Tidak puas hanya menimba ilmu di Madinah, beliau pun melakukan perjalanan ke Mesir dalam pengembaraan keilmuannya. Guru-gurunya di sini antaranya Syaikh Abdurrahman 'Ulaisy, Syaikh Muhammad Ibrahim As-Saqa, Syaikh Abdul Mu'thi As-Saqa, Syaikh Muhammad Khaththab As-Subki As-Salafi, Syaikh Ahmad Rafi' Ath-Thahawi, Syaikh Abu Muhsin Ali bin Muhammad Al-Bablawi, Syaikh Muhammad Asy-Syafi'i Azh-Zhawahari, Syaikh Abdurrahman Qara'ah (mufti Mesir), Qadhi Syaikh Muhammad Bakhit Al-Muithi'i, Sayyid Khidhir bin Husain At-Tunisi.
Setelah itu beliau kembali ke negerinya, Tunisia, untuk mengambil ilmu dari para tokoh ulamanya yang terkenal. Beliau mengambil ilmu antara lain daripada Syaikhul Islam Abu Hajib dan Syaikh Ath-Thayyib An-Nufair. Beliau pun saling berbagai ilmu dengan para ulama di Universiti Zaitunah, antaranya Syaikh 'Asyur, Syaikh Muhammad bin Mahmud, Syaikh Bairam Ath-Thayyib.
TERCATAT DENGAN TINTA EMAS
Pengembaraan ilmunya tak berhenti sampai di situ. Beliau terus ke Fez, Maghribi. Di kota tua ini beliau berbagi ilmu antara lain dengan Sayyid Al-Mahdi Al-Wazini. Beliau pun mengambil ilmu dari Sayyid Ahmad bin Al-Ma'mun Al-Balghaitsi (wafat 1348H/1929M), pemimpin asyraf (jamak kata syarif, keturunan Sayyidina Hasan, cucu Rasulullah s.a.a.w). Juga kepada Sayyid Abdurrahman bin Zainan, Sayyid Abdul Kabir Al-Kattani dan saudaranya, Sayyid Abdul Hayy Al-Kattani.
Dari sana, beliau melanjutkan perjalanan ke Damsyik, Syria, untuk tujuan yang sama. Antara para gurunya di sini ialah ahli hadits Sayyid Badruddin Al-Hasani, juga Syaikh Abu An-Nadhr Al-Khattib, Syaikh 'Atha' Al-Kasam, Syaikh Muhammad Abul-Khair Abidin.
Kemudian beliau kembali ke Makkah untuk mengambil ilmu dari para ulama yang mengajar di Masjidil Haram. Beliau mengambil ilmu antara lain dari Sayyid Husain Al-Habsyi (mufti Syafi'i di Makkah, wafat tahun 1330H/1912M), Sayyid Bakri Syatha, dan Syaikh Sulaiman Hasbullah. Beliau pun berbagi ilmu dengan Sayyid Abbas Al-Maliki (datuk Sayyid Muhammad bin Alwi Al-Maliki), dan Syaikh Muhammad Ali Al-Maliki, juga tokoh besar Makkah dan pernah mengadakan perjalanan ke Indonesia. Dalam masa ini beliau mulai mengajar di Masjidil Haram dan Madrasah Al-Falah.
Pada tahun 1343H (1924M), Syeikh Umar Hamdan pergi ke Aden (Yaman Selatan). Di sini, di antaranya dengan perantaraan Sayyid Muhammad Zabarah, beliau mengambil ilmu dari Imam Yahya Hamiduddin, pemimpin Yaman yang sangat terkenal. dengan perantaraan tokoh ulama di atas juga, beliau mengambil ilmu dari Qadhi Husain Al-'Amri.
Tak puas tampaknya jika beliau tidak menimba ilmu di negeri para sayyid, Hadhramaut. Maka beliau pun mengadakan perjalanan ke sana dan mengambil ilmu dari para tokoh ulamanya, di samping juga mengajar di masjid-masjidnya karena beliau sendiri telah menjadi tokoh ulama yang disegani kerana ilmu dan pengalamannya.
Guru-gurunya saat di Hadhramaut antaranya Habib Abu Abdillah Muhammad bin Salim As-Siri, Habib Abdullah bin Hadun Al-Muhdhar, Habib Musthafa bin Ahmad Al-Muhdhar (kekanda Habib Muhammad bin Ahmad Al-Muhdhar, Bondowoso), Habib Muhammad bin Hadun Assegaf, Habib Syaikh bin Muhammad Al-Habsyi, Habib Abdullah bin Thohir Al-Haddad (saudara Habib Alwi bin Thohir Al-Haddad, mufti Johor). Beliau pun mengambil ilmu dari beberapa ulama perempuan, yakni Habibah Sidah binti Habib Abdullah bin Husain bin Thahir dan saudarinya yang lain, juga Habibah Khadijah binti Ahmad Al-Muhdhar.
Demikianlah, beliau selalu menggali dari berbagai sumber yang dapat ditemui, dan berkelana dari satu tempat ke tempat lain. Memang begitulah tradisi dan semangat keilmuan para ulama masa itu.
Di mata guru-gurunya, Syeikh Umar Hamdan dikenal sebagai seorang yang memiliki pemahaman ilmu yang bagus, kecermatan, dan penguasaan berbagai disiplin ilmu. Selama di Madinah, beliau benar-benar tekun mendalami sejumlah besar kitab induk dalam berbagai disiplin ilmu seperti tauhid, fiqh, tasawuf, tafsir, sirah Nabawi, nahwu (sintaksis), sharaf (morfologi), balaghah (sastera Arab) dan sebagainya, yang dikuasai dengan sangat baik.
Semua masalah ilmu beliau pelajari, bahkan hal-hal yang sangat mendetail pun tak luput dari perhatiannya. Apa saja yang diucapkan gurunya, diperhatikannya dengan baik. Dan tak jarang beliau mendebat dan mempersoalkannya- tentu dengan cara yang santun.
Dari perjalanannya yang panjang itu, jelaslah bahawa semua pusat ilmu di Timur Tengah sudah dijelajahinya, dan tokoh-tokoh ulama terkemuka telah ditemui dan diambil ilmunya. Gurunya tercatat hampir 100 orang, jumlah yang tidak sedikit.
Beliau dihargai dan dihormati sebagai salah satu panutan dalam keilmuan, baik saat belajar mahupun mengajar. Sejarah telah mencatat namanya dengan tinta emas.
ANTARA MAKKAH DAN MADINAH
Setelah memiliki penguasaan ilmu yang luas dan mendalam dalam berbagai disiplin ilmu, sebahagian besar waktunya dihabiskannya untuk mengajar. Uniknya, ia membahagi waktunya antara Makkah dan Madinah. Di musim panas ia mengajar di Madinah, dengan mengadakan halaqah ilmiah di Masjid Nabawi, tidak jauh dari Raudhah. Halaqahnya merupakan salah satu dari halaqah terbesar di masjid itu. Sedangkan di musim dingin, ia mengajar di Masjidil Haram, Makkah, dengan mengajar Al-Kutubus Sittah (enam kitab hadits induk).
Sejak tahun 1343H (1924M), ia juga mengajar di Madrasah Ash-Shaulatiyah dan kemudian di Madrasah Al-Falah, yang dijalaninya selama 5 tahun. Bukan hanya di masjid dan di madrasah ia mengabdikan dirinya dalam bidang keilmuan. Rumahnya pun tak ubahnya seperti sebuah madrasah, di situ selalu diadakan diskusi masalah2 ilmu. Para ulama memenuhi kediamannya berdiskusi tentang masalah2 keilmuan, termasuk riwayat hidup para perawi hadits, perjalanan hidup dabn perjuangan ulama, dan karya2 mereka.
Tak menghairankan jika jumlah muridnya banyak dan berasal dari berbagai penjuru dunia. Antara mereka adalah Allamah Syaikh Ibrahim bin Daud Al-Fathani (ulama terkemuka dari daerah Patani, Thailand Selatan), Syaikh Muhammad Yasin Al-Fadani (tokoh ulama terkenal dan sangat produktif, kebanggaan kaum muslimin Indonesia, yang meskipun kelahiran Makkah, orang tuanya berasal dari Padang, (Sumatera Barat), juga ahli falak Allamah Sayyid Ahmad bin Abdullah bin Shadaqah Dahlan (putra Sayyid Abdullah Shadaqah Dahlan, ulama terkemuka kelahiran Makkah yang wafat di Garut pada 1943M), Allamah Sayyid Hasan Al-Masysyath, Sayyid Alwi bin Abbas Al-Maliki, Sayyid Amin Kutbi, Sayyid Muhammad Nur Kutbi.
Keseharian Syeikh Umar Hamdan tak pernah lepas dari urusan keilmuan dan ibadah. Beliau tak memikirkan dan peduli dengan urusan dunia, lebih dari tak pedulinya anak-anak kecil terhadap urusan di luar mereka. Beliau telah merasakan kenikmatan dari kegiatannya: belajar dan mengajar. Beliau juga selalu mengisi waktu-waktunya di luar itu dengan membaca Al-Quran, i'tikaf, dan muthala'ah kitab-kitab. Kesukaannya juga membeli kitab-kitab lama, terutama yang berupa tulisan tangan.
Kesibukannya mengajar di masjid, madrasah, dan rumah membuatnya tak sempat menghasilkan karya, selain komentar-komentar singkat pada kitab-kitabnya. Namun beliau memiliki catatan kecil tentang guru-gurunya dan kitab-kitab yang dipelajarinya, yang dinamainya Ithaf Dzawi al-'Irfan bi Ba'dh Asanid Umar Hamdan.
Salah seorang muridnya, Syaikh Muhammad Yasin Al-Fadani, yang dikenal sebagai Musnid Ad-Dunya kerana dipandang memiliki sanad-sanad keilmuan yang terbanyak di dunia, juga menyusun kitab tentang sanad-sanad gurunya ini, Mathmah Al-Wujdan fi Asanid Asy-Syaikh Umar Hamdan, dalam 3 jilid, yang kemudian ia ringkas menjadi satu jilid, dengan judul Ithaf Al-Ikhwan bi Ikhtishar Mathmah Al-Wujdan fi Asanid Asy-Syaikh Umar Hamdan.
Setelah puluhan tahun mengabdikan dirinya dalam dunia keilmuan, pada 9 Syawwal 1368H (4 Ogos 1949M), Syaikh Umar Hamdan kembali ke hadhirat ALLAH SWT di Madinah dan dimaqamkan di Baqi'. Semoga ALLAH mengangkatnya ke kedudukan yang tinggi. Amin. Al-fatihah.
Petikan (dengan sedikit modifikasi) Majalah Kisah Islami alKisah, No.15/Tahun VI/ 14-27 Julai 2008. Ruangan Manaqib muka surat128-133. Indonesia
Tidak ada komentar:
Posting Komentar