

Inilah
doa setelah sholat witir yang biasa dilazimi oleh sebahagian imam di
tempat kami. Satu doa yang indah susunan katanya, lagi berisikan
permohonan-permohonan yang molek-molek, seperti iman yang langgeng
berkekalan, hati yang tunduk khusyu' kepada Maha Pencipta, ketaatan
beragama yang mantap dan ilmu yang bermanfaat. Doa ini juga, dengan
sedikit perbezaan shighah, turut dianjurkan oleh Tok Syaikh Daud
al-Fathani rhm. untuk dibaca setelah witir dalam karya beliau yang
berjodol "
Kaifiyat Khatam al-Quran" halaman 113 - 114. Doa ini merupakan saduran daripada sebuah doa yang dinisbahkan kepada
Sayyidina Abu Dzar al-Ghifaari r.a. Dalam sebuah kutaib berjodol "
Mafaatiihul Faraj" yang ditahqiqkan oleh Syaikh Muhammad Shiddiq al-Minshawi dinukilkan riwayatnya daripada kitab "
Nawaadirul Ushul"
karya Abu 'Abdullah Muhammad bin 'Ali al-Hasan bin Basyir bin Harun
yang dikenali sebagai al-Hakim at-Tirmidzi yang wafat tahun 320H,
sebagai berikut:-
Tersebut dalam "Nawaadirul Ushul"
dengan sanadnya daripada Junjungan Nabi s.a.w. bahawasanya Sayyidina
Jibril a.s. telah datang mengadap Junjungan Nabi s.a.w. Tatkala baginda
bersama Jibril a.s., maka masuklah Sayyidina Abu Dzar r.a. Jibril a.s.
memandang kepadanya, lalu Junjungan Nabi s.a.w. pun bertanya kepada
Sayyidina Jibril a.s.: "Wahai AminAllah, adakah engkau mengenali Abu Dzar ?" Jibril mengiyakan dan berkata: "Demi
Allah yang telah mengutuskan engkau dengan kebenaran, sesungguhnya Abu
Dzar lebih terkenal di langit berbanding di bumi, dan yang sedemikian
adalah kerana suatu doa yang diamalkannya pada setiap hari dua kali yang
menjadikan para malaikat kagum". Maka Junjungan Nabi s.a.w. pun bertanya kepada Abu Dzar: "Wahai Abu Dzar, adakah bagimu doa yang engkau baca setiap hari dua kali?" Sayyidina Abu Dzar r.a. menjawab:-"
Ibubapaku jadi tebusanmu, sungguh ada doa yang kuamalkan tanpa
pengetahuan seseorang pun. Ianya adalah 10 kalimah yang diilhamkan Allah
dan aku berdoa dengannya 2 kali sehari dalam keadaan menghadap kiblat,
mengucapkan tasbih dan takbir sebanyak-banyaknya lalu berdoa dengan 10
kalimah berikut:-

Berkata Sayyidina Jibril a.s.: "Wahai
Nabi Muhammad, demi Allah yang membangkitkan engkau dengan kebenaran,
tidaklah berdoa seseorang daripada umatmu dengan doa ini melainkan akan
diampunkan dosa-dosanya walaupun ianya sebanyak buih lautan atau
sebanyak bilangan tanah bumi, dan tidaklah seseorang umatmu yang menemui
Allah dengan membawa doa ini dalam hatinya melainkan dia menjadi orang
yang dirindui syurga dan 2 malaikat memohon keampunan baginya serta
dibukakan baginya pintu-pintu syurga, seraya berserulah malaikat: "Wahai
wali Allah, masuklah dari pintu mana pun yang engkau kehendaki."
Allahu
... Allah. Hebat sungguh kisah yang diriwayatkan, tetapi barang diingat
bahawa para muhadditsin menghukumkan riwayat ini sebagai dhoif.
Walaupun begitu, ianya tetap dinukilkan dalam sebahagian karya hadits
seperti "
Jami' al-Kabir" dan "
Kanzul Ummal".
Maka tidaklah menjadi halangan bagi kita untuk mengamalkan doa tersebut
asalkan jangan dii'tiqadkan ianya tsabit shohih daripada Junjungan Nabi
s.a.w. Yang penting mohonlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh,
beradab serta dengan yakin dan ikhlash mengharapkan rahmat anugerah dan
keredhaan Allah semata-mata.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar