SALAH
seorang anak Mufti Jamaluddin bin Muhammad Arsyad al-Banjari, ialah
Muhammad Thasin al-Banjari. Beliau mengembara ke beberapa buah negeri
kerana menyebarkan agama Islam terutama sekali dalam bidang ilmu tajwid.
Sewaktu beliau merantau ke Brunei, berkahwin di sana, memperoleh anak
bernama Ramli. Diriwayatkan ramai keturunannya di Brunei dan Sabah.
Muhammad Thasin al-Banjari meneruskan perantauannya ke Pontianak,
Kalimantan Barat memperoleh tiga orang anak lelaki, iaitu Muhammad
Yusuf, Muhammad Arsyad dan Abdur Rahman. Diriwayatkan, bahawa Muhammad
Yusuf bin Haji Thasin setelah belajar ilmu-ilmu keislaman secara
mendalam, beliau meneruskan usaha akhirnya menjadi saudagar intan.
Muhammad Yusuf juga merantau ke seluruh tanah Kalimantan. Selanjutnya
Muhammad Yusuf merantau ke Sumatera, hingga beliau meneruskan
perantauannya ke luar negeri, iaitu ke Saigon dan Kemboja. Di Kampung
Melayu, Kemboja, Muhammad Yusuf berkahwin lagi. Beliau seorang yang
berpengalaman dalam perkahwinan. Diriwayatkan, sepanjang hidupnya
Muhammad Yusuf pernah berkahwin sebanyak empat puluh kali. Isterinya ke
empat puluh yang berasal dari Kemboja itulah yang dibawanya pulang ke
Kalimantan Barat. Di Pontianak, Muhammad Yusuf membuka tanah perkebunan
getah yang sangat luas. Setelah usahanya menjadi, diberinya nama kampung
itu sebagai “Kampung Saigon”. Akhirnya beliau sendiri terkenal dengan
panggilan Yusuf Saigon dan hilanglah nama Banjarnya. Oleh itu ramai
orang menyangka Muhammad Yusuf adalah orang Saigon bukan orang Banjar.
INSTITUSI PENDIDIKAN Kedua-dua anak Muhammad Thasin al-Banjari yang
tersebut di atas, iaitu Muhammad Yusuf dan Muhammad Arsyad Pontianak,
setelah mereka melihat kesuburan pohon-pohon getah hasil usaha gigih dan
susah payah mereka sendiri, bangkitlah kembali cita-cita untuk
meneruskan perjuangan moyang mereka, iaitu Syeikh Muhammad Arsyad bin
Abdullah al-Banjari yang sangat masyhur itu. Mereka berdua beriktikad,
bahawa tiada satu perjuangan pun yang lebih mulia, dapat menyelamatkan
seseorang sama ada di dunia mahu pun akhirat, melainkan perjuangan
menyebarkan ilmu-ilmu yang diajarkan oleh para nabi dan rasul Allah.
Bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., nabi dan rasul akhir
zaman, tidak syak lagi adalah satu-satunya agama yang wajib
diperjuangkan oleh setiap insan Muslim. Urusan mencari dana untuk
kepentingan umat Islam ditangani oleh Muhammad Yusuf, sedangkan untuk
propaganda dan dakwah dilakukan oleh saudaranya, Muhammad Arsyad.
Cita-cita kedua-dua adik beradik itu dikabulkan oleh Allah, kerana dalam
tahun 1925 M. datanglah seorang pemuda yang alim dari Ketapang bernama
Abdus Shamad yang mendapat pendidikan di Madrasah Shaulatiyah, Mekah.
Salah seorang guru beliau di Madrasah Shaulatiyah, Mekah ialah Tengku
Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman, yang kemudian dikenali sebagai Syeikhul
Islam di Kerajaan Selangor. Abdus Shamad ditampung oleh Muhammad Yusuf
Saigon, lalu didirikanlah pondok-pondok tempat tinggal para pelajar,
ketika itu berdirilah Pondok Pesantren Saigoniyah yang dianggap sebagai
pondok pesantren yang pertama di Kalimantan Barat. Sungguhpun demikian,
sebenarnya sistem pendidikannya bukan sistem pondok, kerana ia juga
mempunyai bangku-bangku tempat duduk para pelajar. Dikatakan sebagai
pondok pesantren yang pertama di Kalimantan Barat hanyalah kerana di
Pondok Pesantren Saigoniyah yang pertama sekali terdapat pondok-pondok
tempat tinggal para pelajar yang dimodali oleh Muhammad Yusuf Saigon.
Ada pun pengajian pondok selain itu ialah Dar al-’Ulum yang diasaskan
oleh Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, murid Tok Kenali. Pengajian
pondok beliau terletak di Kampung Terusan, Mempawah. Hanya pondok
pengajian inilah satu-satunya pondok pengajian tanpa kelas dan tanpa
bangku, sistem pendidikannya sama dengan di Patani, Kelantan, Kedah dan
Pulau Jawa. Dalam tahun 1975, beberapa orang kader Pondok Pesantren
Saigoniyah dan Dar al-’Ulum bergabung, sama-sama mengajar di Pondok
Pesantren Al-Fathaanah di Kuala Mempawah. Oleh itu bererti kelanjutan
daripada kedua-dua institusi yang tersebut, masih berjalan terus sampai
sekarang. Kader-kader Pondok Pesantren Saigoniyah banyak mengeluarkan
kader-kader yang mengajar di beberapa tempat di Kalimantan Barat tetapi
sekarang hampir semuanya telah meninggal dunia. Pondok Pesantren
Saigoniyah hilang atau tenggelam namanya akibat perang dunia yang kedua,
tentera Jepun sangat ganas di Kalimantan Barat. Setelah Jepun kalah,
nama itu tidak muncul lagi, nama baru yang muncul dalam tahun 1977 ialah
Madrasah Al-Irsyad. Nama baru ini diberikan bertujuan mengabadikan nama
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan nama keturunan beliau, iaitu
Muhammad Arsyad. Beliau adalah satu-satunya ulama yang dihormati di
Kampung Saigon ketika itu. Memandangkan institusi-institusi pendidikan
pondok di beberapa tempat di Pulau Jawa mencapai kemajuan, sebaliknya di
tempat-tempat yang lain termasuk di Malaysia mengalami kemerosotan,
bahkan ada yang hanya dikenang namanya saja, rasanya perlulah
insan-insan yang sedar dan insaf berjuang menghidupkannya kembali. Ini
kerana sistem pengajian pondok satu ketika dulu diakui oleh ramai pihak
sebagai institusi yang mencerdaskan umat Melayu sejagat. Dengan
perkembangan dunia yang serba canggih dan moden, institusi pondok perlu
canggih dan moden juga. Pondok Pesantren Saigoniyah yang satu ketika
dulu pernah terkenal di Kalimantan Barat, bahkan menjadi dipuji oleh
masyarakat Banjar di mana saja mereka berada, sekarang telah tiada. Kita
mengharapkan pejuang-pejuang pendidikan sistem pondok dunia Melayu
tetap berfikir dan berusaha ke arah sesuatu yang hilang akan ada
gantinya. Sebagaimana kita ketahui, Muhammad Yusuf Saigon, yang
berperanan dalam pembinaan Pondok Pesantren Saigoniyah, adalah salah
seorang keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Perlu
juga kita ketahui, dalam zaman yang sama keluarga ini juga menjalankan
aktiviti serupa di tempat-tempat lainnya di dunia Melayu, bahkan
termasuk juga Mekah. Sebagai contoh Mufti Abdur Rahman Shiddiq
al-Banjari mengasaskan pengajian pondok di Parit Hidayat, Sapat,
Inderagiri Hilir, Sumatera. Tuan Husein Kedah al-Banjari mengasaskan
beberapa tempat pendidikan sistem pondok di Malaysia. Beliau memulakan
aktivitinya di Titi Gajah, Kedah, selanjutnya di Pokok Sena, Seberang
Perai, Pulau Pinang yang dikenali dengan Yayasan Pengajian Islam
Madrasah Al-Khairiah. Selain institusi pendidikan di Pontianak,
Kalimantan Barat, Sapat, Inderagiri dan Malaysia sebagaimana yang
disebutkan di atas, masih banyak lagi institusi pendidikan keluarga
ulama Banjar tersebut di tempat-tempat lain, sama ada di Banjar mahu pun
di Pulau Jawa. Di Bangil, Jawa Timur ada pondok pesantren yang
diasaskan keluarga ini, seperti Pesantren Datuk Kelampayan. Pondok
tersebut diasaskan oleh al-`Alim al-Fadhil Kiyai Haji Muhammad Syarwani
Abdan al-Banjari. Datuk Kelampayan adalah gelaran untuk Syeikh Muhammad
Arsyad bin Abdullah al-Banjari kerana beliau dimakamkan di Kelampayan.
Di Dalampagar (Banjar) sekurang-kurangnya terdapat dua buah institusi
pendidikan yang diasaskan oleh keluarga ini, demikian pula di Teluk
Selong, Kampung Melayu dan lain-lain. Dua buah madrasah di Dalampagar
diberi nama Madrasah Sullam Al-’Ulum dan Madrasah Mir’ah ash-Shibyan.
Yang di Teluk Selong diberi nama Madrasah Sabil Ar-Rasyad. Yang di
Sungai Tuan diberi nama Madrasah Al-Irsyad. Yayasan yang diasaskan oleh
keluarga ulama Banjar tersebut juga terdapat di beberapa tempat,
seumpama Yayasan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari. Yayasan terbentuk
dalam rangka haul ulama tersebut yang ke 160 kali oleh panitia (jawatan
kuasa) pada 30 November 1967, hari kewafatan beliau yang jatuh pada 7
Syawal 1387 H/7 Januari 1968 M, diadakan di Kompleks Kubah Kelampayan,
Kalimantan Selatan. Guru agama dalam keluarga ulama Banjar ini bernama
Kiyai Haji Muhammad Saman bin Muhammad Saleh (lahir 3 November 1919)
yang telah berhasil mengasaskan Yayasan Pendidikan dan Pengembangan Ilmu
Makrifatullah wa Makrifatur Rasul Nurul Islam di Banjar dan sejak tahun
1972 telah berhasil mengajar dan berdakwah di negeri Sabah. Ada
beberapa orang besar dan tokoh terkemuka di Sabah yang merupakan murid
beliau, di antaranya ialah Datuk Mohd Ainal bin Haji Abdul Fattah, PGDK,
LLB, MBA (UMS), penyusun buku Dokumentasi Pilihan Raya Ke-11, cetakan
pertama tahun 2005 yang lengkap dengan pelbagai gambar. Buku tersebut
telah dilancarkan oleh Datuk Seri Abdullah Badawi, Perdana Menteri
Malaysia pada hari Jumaat 22 Julai 2005 di Pusat Dagangan Dunia Putera
(PWTC). PENULISAN Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin al-Banjari
adalah seorang ulama. Beliau juga menyebarkan Islam dengan cara
berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Sungguh pun beliau
merantau namun sempat juga menghasilkan beberapa buah karangan. Di
antaranya yang diberi judul Tajwid Fatihah. Karya beliau pula ialah
Tajwid al-Quran, diselesaikan di Pontianak, hari Isnin, 8 Ramadan 1347
H. Cetakan pertama kedua-dua karya tersebut dicetak oleh Mathba’ah
Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 29 Jamadilawal 1348 H. Menurut
keterangan anak beliau, Fauzi Arsyad masih ada beberapa buah karangan
Muhammad Arsyad, ayahnya itu, di antaranya ialah Ilmu Ushul Fiqh. Dengan
sangat disesali saya hanya memperoleh dua judul yang tersebut di atas
saja, ketika saya menyusun buku Syeikh Muhd. Arsyad Al-Banjari Matahari
Islam (1402 H/1982 M) beliau berjanji akan membongkar kitab-kitab yang
ada dalam simpanan untuk mendapatkan semua karangan ayahnya, namun
hingga beliau meninggal dunia karangan-karangan yang dimaksudkan gagal
diperoleh. Ilmu Ushul Fiqh termasuk salah satu ilmu yang tidak banyak
ditulis dalam bahasa Melayu, Prof. Dr. Hamka menulis, “Orang pertama
menulis Ilmu Ushul Fiqh dalam bahasa Melayu ialah Dr. Haji Abdul Karim
Amrullah yang diberinya judul Sullamul Ushul Yurqabihi Samma’u Ilmul
Ushul, selesai ditulis pukul 6.30 pagi, hari Sabtu, 24 Muharam 1333 H
atau 12 Disember 1914 M di Jambatan Besi, Padang Panjang.” Jika ushul
fiqh karya Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin dapat ditemui tentu
kita dapat membandingkannya dengan karya ayah atau orang tua Buya Hamka
itu. Kemungkinan karya ulama keturunan Banjar itu lebih dulu atau pun
jika terkemudian rasanya dalam jarak tahun yang tidak begitu jauh.
Kerana kedua-dua ulama yang berasal dari Banjar dan Minangkabau itu
menjalankan aktiviti pendidikan, dakwah dan penulisan adalah dalam
tahun-tahun yang bersamaan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar